KUALA LUMPUR – Tindakan seorang warga emas menampar seorang lelaki bukan muslim ketika sedang makan pada bulan Ramadan tidak mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian negara yang berbilang kaum.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, insiden yang telah berlaku di sebuah pusat membeli belah di Johor Bahru itu merupakan satu tindakan provokasi
“Tindakan sedemikian harus dihentikan serta-merta dan tidak dibenarkan berkembang di negara yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara.
“Saya juga mengutuk keras sebarang bentuk keganasan, diskriminasi, dan sikap prejudis yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, mangsa yang dikenali sebagai Elijah telah membuat laporan di Balai Polis Tampoi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat kes di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Justeru beliau berharap agar semua pihak memberi kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan siasatan.
Aaron menggesa supaya semua rakyat Malaysia beradab dalam berinteraksi dan seharusnya sentiasa saling menghormati budaya dan mengamalkan nilai faham, hormat dan terima.
“Isu-isu yang menyentuh soal perpaduan tidak boleh dipandang remeh. Kita tidak boleh membiarkan sebarang insiden yang boleh meruntuhkan keharmonian rakyat Malaysia.
“Negara ini hanya akan maju jika kita bersatu, saling menghormati, dan hidup dalam keadaan aman tanpa sebarang bentuk ketegangan kaum atau agama,” katanya.
Tular di X seorang pemilik akaun bingbingE656/Elijah berkongsi video tindakan seorang lelaki tua yang bertanya sama ada dia merupakan orang Islam dan meminta kad pengenalan.
Katanya, dalam kejadian yang berlaku di Angsana Mall itu, lelaki berkenaan marah kerana dia makan pada bulan puasa dan bertindak menampar dirinya beberapa kali selepas menafikan dirinya bukan muslim dan tidak mahu menyerahkan kad pengenalan.
“Syukurnya anak dia memang baik dan lepas tenangkan situasi, dia minta maaf untuk pak cik tu. Tapi pak cik tu dah tidak menghormati saya dan tampar saya di tempat awam.
“Saya boleh terima permohonan maaf tu tapi saya tak boleh lepaskan benda ni. Semoga negara kita kekal negara yang harmoni dan kita tau bagaimana nak hormat orang lain tak kira kaum dan agama,” kata Elijah. – MalaysiaGazette