MANJUNG – Hari Raya Aidilfitri yang hampir menjelang tiba lebih bermakna bagi 30 asnaf sekitar Kampung Pasir Panjang Laut di sini apabila menerima bantuan daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir baru-baru ini.
Bantuan berupa telur ayam, minyak masak, sardin, gula, biskut dan beberapa barangan lagi itu diserahkan dalam satu majlis di Masjid Al-Wataniah, Kampung Pasir Panjang Laut.
Walaupun menteri berkenaan tidak dapat hadir kerana urusan yang tidak dapat dielakkan namun penyerahan barangan bantuan itu diwakilkan kepada Setiausaha Sulit Khasnya, Datuk Azri Jaafar dan Pegawai Khas kementerian berkenaan. Datuk Rashidi Ibrahim.
Majlis penyerahan itu juga amat bermakna bagi asnaf-asnaf berkenaan apabila Ahli Parlimen Lumut, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail turut hadir menyampaikan bantuan.

Aktivis kemasyarakatan serta usahawan yang menguruskan program tersebut secara sukarela, Zulkefli Abu Bakar ketika ditemui memberitahu, pihanya telah mengenal pasti asnaf yang benar-benar layak menerima bantuan tersebut.
“Mereka adalah sebahagian daripada kumpulan asnaf sekitar kawasan ini. Daripada kumpulan asnaf yang ada, kita kenal pasti 30 asnaf untuk menerima bantuan tersebut,” katanya.
Turut hadir dalam program itu ialah Ketua Kampung Pasir Panjang Laut, Syamsul Faiz Abd. Azizi dan usahawan Mohamed Yunus Abdullah.
Sementara itu, seorang penerima bantuan, Hamidah Yeop Hamzah, 65, berkata, sejak kematian suaminya 10 tahun lalu, dia hanya mampu mencari nafkah dengan kerja-kerja membersihkan rumah-rumah jiran.

Hamidah yang tinggal sebatang kara memberitahu, dari kerja-kerja itu dia akan memperolehi pendapatan RM200 hingga RM300 sebulan bergantung kepada jumlah upah yang diterima.
“Dengan pendapatan itu, saya tidak mampu membayar bil air dan elektrik. Sebaliknya anak saudara saya bantu bayarkan. Sejak suami meninggal, saya tinggal seorang diri dan kami tidak mempunyai zuriat.
“Sejak 10 tahun lalu, apabila tiba Ramadan saya akan berbuka puasa seorang diri. Apabila menjelang Aidilfitri, anak saudara saya akan belikan sepasang baju raya,” katanya menahan sebak.
Hamidah yang tidak menerima sebarang bantuan bulanan itu bersyukur dan berterima kasih kerana ada pihak yang prihatin seperti Menteri Pengajian Tinggi dan juga usahawan, Zulkefli Abu Bakar. – MalaysiaGazette