KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima peruntukan sebanyak RM11.33 bilion dalam Belanjawan 2025 di bawah dasar sedia ada, program khusus dan pembangunan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, di bawah anggaran perbelanjaan mengurus, sebanyak RM30 juta telah diterima bagi kerja-kerja penyelenggaraan fasiliti.
Katanya, kira-kira 18 projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), balai polis, perumahan dan fasiliti lain turut diluluskan melibatkan RM2.3 bilion di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi 2025.
“Ini adalah jumlah projek paling banyak diluluskan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Ia selaras dengan aspirasi Madani untuk membangunkan negara yang lebih mampan dan makmur berteraskan roh daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan,” katanya dalam ucapan sempena Sambutan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), hari ini.
Majlis dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasutiom Ismail dan Timbalannya Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah serta Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Razarudin turut berkata, warga PDRM menyambut baik usaha kerajaan dalam memperkasakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diyakini dapat mengukuhkan perkhidmatan penjawat awam.
“Segala manfaat yang telah dinikmati dan dituai ini, PDRM tidak berpaling arah untuk terus menyokong segala dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan.
“Sesungguhnya, warga pasukan yakin, setiap pembaharuan yang telah diperkenalkan oleh kerajaan adalah demi kemaslahatan bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette