KUALA LUMPUR – Polis sedang giat memburu seorang lelaki yang terlibat dalam kes pecah masuk dan mengumpil tabung surau di Mambau, Seremban.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada bilal surau sekitar jam 7.15 pagi, Sabtu lalu.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki tidak dikenali, memakai topi keledar dan jaket berwarna gelap, memasuki kawasan surau dari arah belakang.
“Suspek dipercayai memotong kunci jeriji besi menggunakan gerudi sebelum masuk ke dalam surau,” katanya
Menurutnya, suspek kemudian mengumpil kunci tabung yang tidak bermangga sebelum memasukkan wang derma ke dalam sebuah beg.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 5 minit 41 saat yang menunjukkan seorang lelaki sedang mengumpil tabung surau.
Penduduk mendakwa suspek menaiki motosikal berkuasa tinggi dan sebuah kereta jenis Proton X50 serta mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memecahkan tabung berkenaan.
Asisten Komisioner Mohamad Hatta berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















