MUAR – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Jabbar, Parit Jawa di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pukul 6.40 pagi melibatkan mangsa, 69, dan pemandu kereta berkenaan, 75.
“Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku apabila kereta berkenaan mahu membelok masuk ke simpang sebelah kanan jalan telah melanggar sebuah motosikal yang sedang bergerak terus ke Jalan Abdul Rahman menghala pekan Parit Jawa.
“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal terbabit tercampak ke dalam parit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang lima tahun.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Penguasa Bomba Kanan 2, Mohamad Syafiq Mohamad Zin berkata, sembilan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Perkhidmatan, Perawatan, Penyelamatan dan Kecemasan (EMRS) dihantar ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi pada pukul 7.04 pagi, pihak bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda Wave dengan kereta jenis Perodua Axia.
“Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal, Saim Mok, 68, tercampak ke dalam parit sedalam satu meter,” ujarnya.
Pihak bomba katanya, segera bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan pengusung, bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, operasi tamat pukul 7.48 pagi.- MalaysiaGazette
















