Mayat seorang bayi ditemukan terlangkup di dalam lubang tandas wanita dekat stesen minyak Petronas Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, pada Ahad.

KUALA LUMPUR – Dua beranak warga tempatan ditahan dipercayai terlibat dalam kes buang bayi dalam mangkuk tandas di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad, tangkapan dibuat secara berasingan di dua lokasi berbeza, semalam.

Katanya, wanita berumur 41 tahun ditahan di perkarangan sebuah kilang di Meru Klang semalam pada jam 6.15 petang.

Manakala, anaknya remaja perempuan berusia 18 tahun yang merupakan pekerja restoran makanan segera ditahan pada 8.30 malam di dalam daerah Meru, Klang.

“Pihak polis juga telah merampas beberapa barang kes yang boleh membantu siasatan iaitu melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza, pakaian, telefon bimbit serta lain-lain bukti daripada kedua-dua suspek,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati ibu remaja berkenaan tidak mengetahui anaknya mengandung sebelum ini.

Katanya lagi, kedua-dua beranak berkenaan kini direman empat hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Md Yusof berkata, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, seorang bayi ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam mangkuk tandas wanita di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani pada tengah hari Ahad.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu terbongkar selepas orang awam menemui mayat bayi tersebut sebelum melaporkannya kepada polis kira-kira jam 12 tengah hari.

Dilaporkan, pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia pada jam 11.15 pagi . -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast