KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Arvind Krishnan mengecam tindakan ganas penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap penjaja belon, Muhamad Za’imuddin Azlan, atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon’ pada Jumaat lepas.
Menurut Arvind, pihaknya telah melawat mangsa dan menyampaikan bantuan kewangan selain memberi jaminan untuk membantu daripada segi khidmat guaman dan perubatan sekiranya diperlukan.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penguat kuasa DBKL yang bertindak kasar terhadap peniaga kecil seperti Abang Belon ini.
“DBKL perlu melatih pegawainya untuk menangani situasi dengan lebih berhemah dan memastikan peniaga diperlakukan dengan hormat, bukannya kekerasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Arvind turut mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap penguat kuasa terlibat bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan, sama ada melibatkan DBKL, agensi lain mahupun pihak polis.
Beliau menegaskan, pihak berkuasa perlu memahami bahawa ramai peniaga kecil hanya berusaha mencari rezeki dalam keadaan ekonomi yang sukar.
Oleh itu, selain memperkemas prosedur permohonan lesen, pemahaman dan pendidikan kepada peniaga mengenai proses berkenaan juga penting.
“Hasil lawatan kami mendapati bahawa Abang Belon mencari rezeki dengan menjual belon untuk mengumpul wang bagi menjalani pembedahan hernia. Pemuda MIC komited dalam membantu beliau mendapatkan rawatan yang sepatutnya.
“Walaupun kita parti yang berakar umbi masyarakat India khasnya namun kebajikan adalah untuk semua rakyat negara ini, itu ikrar dan perjuangan MIC selama ini.
“Apabila berlaku ketidakadilan seperti ini, kami tetap berpegang pada prinsip keadilan dan kesaksamaan agar semua individu, tanpa mengira kaum, mendapat sokongan dan layanan yang sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette