Menteri Digital, Gobind Singh Deo hadir melawat mangsa-mangsa tragedi kebakaran paip gas Putra Heights di Pusat Penempatan Sementara Masjid Putra Heights, Subang Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 04 APRIL 2025

PUCHONG – Kementerian Digital akan mengkaji bentuk bantuan yang boleh disalurkan kerajaan kepada mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, tujuan lawatan di lokasi kejadian adalah untuk meninjau tahap kerosakan serta mengenal pasti keperluan penduduk.

“Sejak tiga hari ini pelbagai bentuk bantuan mula disalurkan melalui pejabat-pejabat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat.

“Kita dapat lihat ramai yang cukup terkesan dan banyak lagi bantuan yang masih diperlukan. Saya akan bawa laporan penuh berkaitan perkara ini ke mesyuarat Kabinet bagi membincangkan bantuan susulan dapat diselaraskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Jalan Putra Harmoni bagi menyantuni penduduk terjejas yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights.

Menurut Gobind, agensi-agensi kerajaan sedang menilai tahap kerosakan rumah-rumah terjejas dan mengenal pasti langkah seterusnya.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo hadir melawat mangsa-mangsa tragedi kebakaran paip gas Putra Heights di Pusat Penempatan Sementara Masjid Putra Heights, Subang Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 04 APRIL 2025

“Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan semua agensi yang telah bertindak pantas. Fokus sekarang adalah bagaimana kita dapat membantu rakyat untuk kembali ke kediaman masing-masing serta meringankan beban mereka.

“Kita biar dulu pihak berwajib siasat dengan baik dan segera,” katanya.

Sementara itu, Gobind memberitahu, kementeriannya akan menghulurkan bantuan penggantian peranti digital penduduk yang musnah dalam insiden tersebut.

Jelasnya, ramai dalam kalangan penduduk mengadu kepada tentang kerosakan peranti akibat kebakaran itu.

“Kita dalam proses sekarang melihat kita dapat menggantikan peranti-peranti tersebut (telefon bimbit dan komputer). Ketika ini perkara ini dalam perbincangan, dan saya harap dalam sehari dapat umum perkembangan berkaitan.

“Sebarang permohonan juga buat dibuat melalui pejabat ADUN atau Ahli Parlimen masing-masing,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast