Situasi terkini mangsa-mangsa kebakaran paip gas Putra Heights ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pusat Penempatan Sementara Putra Heights, Subang Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 04 APRIL 2025

SUBANG JAYA – Keperluan perubatan dan kesihatan mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini, yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), dijamin pada paras optimum.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, penjagaan kesihatan yang diberikan tidak tergendala termasuk pemberian ubat.

Ujar beliau, kementerian turut  menggunakan MySejahtera bagi mengumpul maklumat secara pantas bagi memastikan proses pemberian ubat dibuat secara berterusan.

“Mangsa-mangsa yang dikenalpasti menghidap penyakit sedia ada menerima penjagaan kesihatan yang sebaiknya sepanjang tempoh penempatan mereka di PPS.

“Di samping itu, kementerian menggerakkan Pusat Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) bagi memastikan sokongan emosi dan kestabilan mental mangsa dalam keadaan sewajarnya,” kata beliau ketika ditemui selepas melawat PPS Masjid Putra Heights, hari ini.

Beliau berkata, tujuh petugas dari klinik kesihatan daerah, seramai 12 orang dari MHPSS dan tiga petugas dari pejabat kesihatan daerah turut memberikan bantuan.

Katanya, mangsa yang terkesan turut menerima sokongan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Bulan Sabit Merah Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast