TAIPING – Sebuah kilang memproses telur masin di Kampung Nibong di Temerlok, Trong, dekat sini hampir musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 2 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu seramai 25 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Trong, BBP Taiping, BBP Pantai Remis dan BBP Seri Manjung diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja pemadaman api kebakaran.
“Berdasarkan maklumat awal, kilang memproses telur masin kelas B itu musnah terbakar pada kadar 80 peratus.
“Pasukan bomba yang berada di lokasi kejadian mendapati api sedang marak memusnahkan 60 peratis daripada struktur kilang. Namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Sabarodzi berkata, anggota bomba mengaplikasikan konsep RECEO (menyelamat, pendedahan, penyekatan, pemadaman dan pemeriksaan) dalam operasi pemadaman kebakaran pada kilang berkenaan.
“Pasukan bomba menggunakan dua aliran hos sepanjang 500 kaki serta tiga pancutan air dari tangki jentera BBP Seri Manjung sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya,” tambah beliau.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Tinggi (PBT) II, Mohd Shahidan Hassan itu tamat pada jam 9.34 pagi.
Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – MG Perak