Kakitangan Zul Kambing Bakar mengedarkan kambing bakar kepada mangsa-mangsa dan petugas insiden letupan paip gas di Pusat Pemindahan Sementara Masjid Putra Heights, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 09 APRIL 2025

SUBANG JAYA – Sebanyak 24 ekor kambing bakar dijadikan jamuan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Subang Jaya selama dua hari bermula hari ini.

Pengurus Zol Kambing Bakar, Zolharmi Din berkata, kambing bakar itu sepatutnya dihidangkan pada Rumah Terbuka Aidilfitri Madani Selangor pada Ahad lalu namun program itu dibatalkan bagi menghormati mangsa yang terjejas dalam tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.

Menurut beliau, kesemua daging kambing itu masih segar dan belum sempat dimasak biar pun mendapat makluman pembatalan program rumah terbuka itu di saat-saat akhir.

“Kami ditempah sebanyak 24 ekor kambing oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di mana program hari ini sepatutnya untuk penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Selangor yang dijadualkan pada Ahad lalu.

“Kerana pembatalan itu dibuat di saat akhir, kami diarahkan untuk memindahkan makanan itu ke PPS di sini untuk mangsa kebakaran paip gas dan petugas yang bertugas di mana hari ini kami menghidangkan sebanyak 12 ekor kambing dan esok pun jumlah yang sama,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di PPS Masjid Putra Heights di sini hari ini.

Kakitangan Zul Kambing Bakar mengedarkan kambing bakar kepada mangsa-mangsa dan petugas insiden letupan paip gas di Pusat Pemindahan Sementara Masjid Putra Heights, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 09 APRIL 2025

Pada Sabtu lalu, Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Selangor yang dijadualkan esok dibatalkan bagi menghormati mangsa dan keluarga yang terbabit dengan tragedi letupan paip gas di Putra Heights.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu diputuskan selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Susulan itu, segala persiapan seperti makanan akan disalurkan kepada pusat pemindahan sementara (PPS), rumah anak yatim, sekolah berasrama dan petugas keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Zolharmi berkata, ketika dimaklumkan pembatalan majlis rumah terbuka itu, daging kambing bakar itu sudah siap disediakan namun belum dibakar lagi.

Jelas beliau, seperti biasa, pasukannya merancang untuk membakarnya pada keesokan hari namun mengakui terdapat menu sampingan awal yang mengalami kerosakan seperti coleslaw.

Tambahnya, daging kambing yang dibakar hari ini dan esok masih segar dan dimasak hari ini bersama sos baharu.

“Pada mulanya memang terkejut pembatalan pada saat akhir namun dimaklumkan pada malamnya agar semua tempahan dihantar ke PPS pada hari ini dan esok.

“Kami reda dengan apa yang terjadi kerana apa yang terjadi ada hikmah kerana tempahan masih ada dan cuma ditukar ke lokasi dan hari lain.

“Pada masa sama, tiada isu kami mengalami kerugian, cuma suasana sahaja tidak sama kerana daging sepatutnya dibakar pada majlis hari raya dan hari ini di PPS di masjid,” katanya. – MalaysiaGazette

Pengurus Zul Kambing Bakar, Zolharmi Din bercakap ketika ditemubual di Pusat Pemindahan Sementara Masjid Putra Heights, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 09 APRIL 2025

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here