Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan berangkat menyantuni mangsa kejadian kebakaran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights hari ini.

SUBANG JAYA – Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan berangkat menyantuni mangsa kejadian kebakaran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) berkata, pihaknya komited untuk terus bersama masyarakat bukan sahaja ketika bencana berlaku tetapi juga sepanjang proses pemulihan.

“Kekuatan sukarelawan kami dan semangat kemanusiaan yang dibawa mereka memberikan impak besar ketika krisis.

“Sukarelawan kami telah berada di lapangan sejak awal, bukan sekadar membawa bantuan tetapi juga harapan dan sokongan.

“Kami akan terus berada di sini selagi diperlukan,” kata beliau kepada media di sini hari ini.

Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, BSMM akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi menilai keperluan semasa, memberikan bantuan yang bersesuaian dan memastikan keluarga yang terjejas terus mendapat sokongan sewajarnya.

“BSMM turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai, rakan
korporat dan organisasi komuniti untuk menyokong usaha bantuan dan pemulihan yang sedang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Tunku Puteri Intan Safinaz meluangkan masa lebih satu jam menyantuni serta mengurniakan sumbangan pek makanan kepada seramai 379 mangsa daripada 97 keluarga yang berlindung di PPS berkenaan.

Keberangkatan tiba beliau yang disambut isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad dan Naib Pengerusi Kebangsaan BSMM, Datuk Seri Suhaimi Yacob.

Sementara itu, Setiausaha Agung BSMM, Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman berkata, lawatan baginda menggambarkan komitmen BSMM untuk sentiasa bersama masyarakat yang terkesan akibat bencana, bukan sahaja dengan bantuan kemanusiaan tetapi juga sokongan berterusan sepanjang proses pemulihan.

Menurutnya, sebaik insiden itu berlaku, BSMM segera menggerakkan pasukan tindak balas kecemasan dengan menggerakkan lebih 30 sukarelawan terlatih dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here