GOMBAK – Kerajaan sedia mengkaji semula keperluan untuk meningkatkan kadar pembiayaan pelajar universiti dalam Tabung Pinjaman Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langlah itu boleh diambil setelah mendapat cadangan daripada pelajar yang akan memberi implikasi kewangan.
“Kementerian Pendidikan Tinggi sudah pun meneliti perkara ini. Namun, hutang tertunggak PTPTN pada masa ini adalah tinggi dan jika jumlah pinjaman disemak semula, ia boleh meningkatkan lagi jumlah hutang tersebut.
“Buat masa ini, kita tangguhkan dahulu. Tetapi kita masih terus membantu pelajar berdasarkan keperluan mereka,” katanya dalam sesi soal jawab bagi program ‘Meet Anwar@IIUM: A Special Homecoming di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), hari ini.
Anwar turut mengulangi pendiriannya bahawa aspek reformasi kewangan termasuk mengenakan cukai kepada golongan mahakaya boleh membantu meringankan beban pelajar.
“Jika golongan yang sangat kaya, contohnya ibu bapa yang berkemampuan, menyumbang lebih, kita boleh agihkan semula sumber itu untuk menyokong pelajar,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata kerajaan menyedari bahawa langkah tersebut akan mempunyai sensitiviti politik.
Jelasnya, langkah itu turut dijangka digunakan oleh pembangkang untuk menyerang beliau di masa akan datang.
“Ini negara demokrasi, kalau kita naikkan cukai, pembangkang akan serang saya habis-habisan,” tambahnya.
Beliau menjelaskan bahawa hanya 15 peratus pendapatan tertinggi akan terkesan oleh cadangan sedemikian.
“Kalau tinggal di rumah banglo ada 10 bilik, enam penyaman udara dan lima kipas, tak sepatutnya bayar kadar elektrik yang sama dengan rakyat biasa. Jadi, 85 peratus daripada populasi tidak akan terkesan,” katanya.
Namun begitu, Anwar berkata, terdapat kempen politik yang menuduh kerajaan membebankan rakyat.
“Sudah ada tuduhan bahawa perdana menteri mengenakan cukai kepada rakyat setiap hari,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa Malaysia menyediakan antara subsidi paling murah hati di rantau ASEAN.
Beliau menambah, sebaik sahaja reformasi subsidi dilaksanakan dan golongan berpendapatan tinggi menyumbang secara adil, kerajaan akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menyemak semula jumlah pinjaman PTPTN.
“Jadi, kita mahu mereka bayar mengikut kadar biasa, kemudian InsyaAllah, kita akan kaji semula kadar pinjaman PTPTN,” katanya. – MalaysiaGazette
















