JOHOR BAHRU – Seorang pemandu maut tercampak keluar selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya melanggar belakang kereta dipandu warga emas di Kilometer 18 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan itu yang melibatkan MPV Proton X50 dipandu pemuda berusia 33 tahun dengan Proton Waja dipandu lelaki berusia 68 tahun berlaku pukul 5.15 pagi.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa Proton Waja dalam perjalanan dari Jalan Taman Kota menghala ke Masjid Bandar Ulu Tiram, di sini, tiba-tiba dilanggar Proton X50 dari arah belakang.
“Akibat kemalangan tersebut pemandu Proton X50 cedera yang parah di bahagian kepala selepas tercampak keluar dari Proton X50 manakala pemandu Proton Waja tidak cedera,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pemandu Proton X50 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah.
Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada masa sama, Mohd Sohaimi menasihatkan orang ramai memandu dengan berhati-hati terutama pada waktu malam.
Sebarang maklumat berkaitan kemalangan tersebut boleh mengubungi pihak polis menerusi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















