KUANTAN – Tiada rekod bayi kembar dirawat di wad kanak-kanak Hospital Kuala Lipis selama sembilan bulan seperti dakwaan yang tular di media sosial sejak semalam.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang berkata, Doktor Palsu yang bernama Dr. Amalina Husna yang didakwa bertugas di hospital terbabit juga tidak wujud.
“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) memandang serius berhubung laporan kes tular di media sosial yang bertajuk “Sepasang Bayi Kembar Hilang Dilarikan oleh Doktor Palsu di Hospital Kuala Lipis.
“Siasatan awal telah dilaksanakan dan mendapati tiada bayi kembar seperti yang didakwa telah menerima rawatan selama 9 bulan di wad kanak-kanak Hospital Kuala Lipis.
“Kali terakhir ibu berkenaan menerima rawatan di Hospital Lipis adalah pada Julai 2024,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
JKNP berkata, laporan polis telah dibuat oleh pihak pengurusan tertinggi Hospital Kuala Lipis bagi mengelakkan berita tidak berasas disebarkan sewenang-wenangnya.
Katanya, ia boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti pengurusan dan perawatan di Hospital Kuala Lipis dan JKNP khususnya.
Justeru, JKNP mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dalam penyebaran maklumat jika tidak pasti kesahihannya.
Semalam, tular di media sosial laporan media berhubung hantaran yang mendakwa seorang wanita mendakwa sepasang bayi kembarnya yang dirawat di hospital berkenaan tidak ditemui dipercayai diculik Pegawai Perubatan di hospital tersebut. – MalaysiaGazette