Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya yang sedang hamil dengan menendang dan memukul wanita itu menggunakan getah paip, bulan lalu.

Daniel Kenneth Abdullah, 35, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya berumur 24 tahun di kediaman mereka di sebuah pangsapuri di Bandar Sri Permaisuri, di sini, pada 9 malam, 30 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Seksyen 326A pula berdepan dengan hukuman penjara selama tempoh dua kali ganda tempoh maksimum atau dengan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan mangsa dikhuatiri berada dalam ketakutan kerana masih tinggal serumah dengan tertuduh.

Daniel yang tidak diwakili peguam merayu jaminan diberikan kerana menyesal akan perbuatannya dan berjanji akan menjaga dua anak mereka, masing-masing berumur empat bulan dan setahun serta isterinya yang kini sedang hamil.

Hakim Zulqarnain Hassan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan kes pada 9 Jun ini untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast