Gambar hiasan.

KLANG – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi berjaya diselamatkan selepas kedua-duanya terjatuh ke dalam laut dalam kejadian berhampiran jeti Institut Latihan Jabatan Laut di Pandamaran, di sini, malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Mohd Zaini Abu Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.00 malam pada 3 Mei lalu

“Daripada laporan yang diterima, dua mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam laut dari jeti Institut Latihan Jabatan Laut di Pandamaran, Klang.

“Salah seorang mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada di kawasan kejadian dan sedang memancing ketika itu.

“Bagaimanapun, seorang lagi mangsa tidak dapat diselamatkan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan oleh pihak polis dengan kerjasama Jabatan Laut, bomba serta agensi-agensi penyelamat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di IPD Klang Selatan, hari ini.

Menurutnya, usaha pencarian yang dimulakan pada malam kejadian diteruskan sehingga ke pagi ini.

“Pada jam 8.00 pagi tadi, pasukan SAR berjaya menemui mayat mangsa kedua dan telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Zaini menasihati orang awam khususnya pemancing agar sentiasa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti berhampiran kawasan air terutamanya ketika cuaca buruk.

“Difahamkan semasa kejadian, tiba-tiba berlaku hujan lebat dan angin kuat yang menyebabkan keadaan jadi tergesa-gesa dan kelam-kabut.

“Kawasan itu juga dipercayai licin, justeru menyebabkan kejadian ini berlaku.

“Oleh itu, kita ingin ingatkan masyarakat agar elakkan aktiviti di kawasan yang tidak selamat atau yang telah diwartakan sebagai kawasan larangan. Apa sahaja boleh berlaku dalam sekelip mata, terutama jika tiada langkah keselamatan diambil,” tambahnya.

Beliau turut menyeru agar masyarakat terus berganding bahu dan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, terutama ketika berada di kawasan berisiko tinggi.

Kes kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat dan siasatan lanjut daripada pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast