KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tarif import baharu yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) akan menyebabkan barangan Malaysia dijual dengan harga yang tinggi di negara itu.
Bekas Perdana Menteri berkata, barangan tempatan sukar menembusi pasaran AS menyebabkan rakyat negara itu disekat daripada membeli barangan dengan harga yang murah.
“Mereka terpaksa membeli barangan sendiri dengan harga yang tinggi. Situasi itu akan berlarutan selama tiga tahun dan dalam tempoh itu, rakyat negara tersebut akan mengalami kekurangan bekalan daripada negara-negara lain.
“Rakyat AS akan berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi,” ujar beliau pada sidang media selepas majlis pembukaan Kapsul Masa Wawasan 2020 di Menara Kuala Lumpur hari ini.
Upacara pembukaan itu diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bertemakan ‘Raikan Raya Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad’ anjuran Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB).
Dr. Mahathir ditanya kesan ekonomi dunia susulan pengumuman Trump pada 2 April lalu bahawa AS akan memperkenalkan tarif asas sebanyak 10 peratus kepada semua negara dan duti yang lebih tinggi melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.
AS bagaimanapun memberi penangguhan selama 90 hari ke atas 75 negara termasuk Malaysia.
Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri menyarankan agar Malaysia mengembangkan perdagangan ke negara-negara lain susulan pengumuman Trump.
Ujar Dr. Mahathir, situasi itu akan turut memberi kesan kepada syarikat-syarikat pengeluar dari Malaysia termasuk kejatuhan saham.
“Kalau mereka tak beli barangan kita, jualan kita menurun, ini akan memberi kesan kepada saham syarikat. Kalau saham syarikat kita jatuh kerana pasaran kurang, kita harus berusaha menjual barangan kepada negara-negara lain selain AS.
“Mereka tak kenakan tarif yang tinggi, dagangan kita dengan negara-negara lain patut akan lebih berkembang,” ujar beliau. – MalaysiaGazette