KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah menerusi empat serbuan berasingan sekitar Wangsa Maju, Sentul dan Cheras baru-baru ini.
Polis juga menahan enam individu termasuk seorang wanita warga Thailand serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM350,000.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, operasi khas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Wangsa Maju dijalankan pada Selasa lalu pukul 3.40 petang hingga 7.15 malam.

“Operasi berkenaan membabitkan dua serbuan di tepi jalan serta dua lagi di unit kondominium yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan dadah.
“Serbuan pertama dan kedua dilakukan di tepi Jalan Tun Razak dan Jalan Ipoh manakala dua lagi lokasi melibatkan premis kediaman di Jalan Chan Sow Lin dan satu lagi di kawasan Jalan Tun Razak,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Mohamad Lazim, enam individu ditahan itu terdiri daripada lima warga tempatan dan seorang warga Thailand adalah berusia lingkungan 26 hingga 53 tahun.
“Serbuan membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine seberat 11.14 gram bernilai RM1,225, ganja seberat 279 gram bernilai RM8,370, kokain seberat 1,714 gram bernilai RM342,800 serta pil Erimin 5 seberat 27.92 gram bernilai RM2,000.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak 2,032.06 gram dengan nilai anggaran RM354,395. Sekiranya terlepas ke pasaran, bekalan itu mampu menampung keperluan kira-kira 5,613 penagih.
“Ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka positif pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, ketamin dan THC,” katanya.
Jelas beliau, empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah manakala dua lagi tidak mempunyai sebarang rekod.
Dua kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala empat lagi di bawah Seksyen 39B akta yang sama.
Kesemua suspek telah dibenarkan direman selama empat hari bagi kes yang disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 bermula 11 April hingga 14 April 2025 dan tujuh hari bagi kes di bawah Seksyen 39B akta sama bermula 11 hingga 17 April 2025.
“Siasatan masih diteruskan termasuk usaha mengenal pasti peranan setiap suspek dan penglibatan mereka dalam rangkaian pengedaran dadah,” ujarnya. – MalaysiaGazette