Lim Guan Eng (empat dari kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang. GAMBAR 14 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pernah mengesyorkan pembinaan terowong dasar laut berbanding projek jambatan di negeri itu.

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, 66, berkata, Guan Eng memberi alasan pembinaan jambatan memerlukan lebih banyak kelulusan Kerajaan Pusat berbanding terowong.

Sehubungan itu, saksi pendakwaan ke-23 (SP23) berkata, bekas Ketua Menteri itu mencadangkan Consortium Zenith Constructrion Sdn. Bhd. (CZCSB) miliknya (saksi) membuat terowong untuk kegunaan penduduk negeri itu.

Zarul Ahmad Mohd Zulkifli

Projek bernilai RM6.3 bilion itu merangkumi sebuah terowong dasar laut dan tiga jalan utama bagi mengurangkan kesesakan trafik di Jambatan Pulau Pinang.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada pemeriksaan semula, saksi pendakwaan ke-23 (SP23) berkata, bekas Ketua Menteri itu mencadangkan pembinaannya berdasarkan keadaan Pulau Pinang ketika itu.

Pada 28 Februari lalu, Zarul Ahmad memberitahu mahkamah bahawa Kerajaan Pulau Pinang tetap memasukkan projek pembinaan tiga jalan utama dan terowong dasar laut dalam dokumen permintaan untuk cadangan (RFP), meskipun kajian pembinaan projek itu dijangka menghadapi kesukaran.

Dalam pada itu, Zarul Ahmad berkata, beliau mengetahui bahawa projek terbabit dimasukkan dalam RFP pada mesyuarat bertarikh 11 Julai 2011.

“Minit mesyuarat itu menyatakan kesemua projek mega yang dirancang untuk dibangunkan perlu dimuatkan dalam satu dokumen RFP kerana setiap satu projek tersebut adalah berkaitan di antara satu sama lain.

“Sehubungan itu, Beijing Urban Consortium Group (BUCG) dari China tidak perlu menyediakan draf dokumen RFP secara berasingan bagi setiap projek,” katanya.

Zarul Ahmad pernah berjawatan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) iaitu syarikat usaha sama dengan BUCG yang dilantik bagi menjalankan projek tersebut.

Wan Shaharuddin: Dalam kes ini ada empat projek, kebiasaannya satu projek ada berapa RFP?

Zarul Ahmad: Kebiasaannya satu projek ada satu RFP. Dalam kes ini ada empat projek dan sepatutnya ada empat RFP.

Saksi penting pendakwaan itu bersetuju bahawa ia memberi kelebihan kepada syarikatnya dalam penyediaan RFP yang dibantu oleh pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Wan Shaharuddin: Bagaimana kelebihan yang Datuk (Zarul Ahmad) dapat daripada mesyuarat pada 10 Mei 2011 dan 11 Julai 2011?

Zarul Ahmad: Dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut terutama pada 11 Julai 2011, sudah pasti mereka bekerjasama dengan saya menyediakan RFP bagi tujuan memanggil tender pada masa akan datang.

Mengenai tanah milik kerajaan Pulau Pinang iaitu Lot 702, saksi berkata, salah seorang kenalan Guan Eng Lim iaitu mendiang Datuk Ewe Swee Kheng memaklumkan, wakil rakyat itu meminta beliau berhubung dengannya bagi membincangkan mengenai tanah tersebut.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Guan Eng, 65, yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong.

Kesalahan didakwa dilakukan di antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast