KUALA LUMPUR – Sebuah kereta yang akan menjadi kenderaan rasmi kepada Presiden China, Xi Jinping yang akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula esok menjadi perbualan hangat di media sosial.
Gambar kereta berbalut kain hitam dan diletakkan di sebuah bangunan kerajaan mula tular di media sosial sejak semalam dengan ada yang merujuknya seperti sebuah kereta perisai.
Beberapa catatan oleh pengguna media sosial berkenaan kereta itu turut menjadi perdebatan dengan yang banyak dikongsikan antaranya oleh pengguna Facebook yang menggunakan nama Mazlan Syafie.
Menurutnya, kenderaan itu merupakan model Hongqi N701 iaitu limosin kalis peluru buatan China sendiri dan dalam dunia politik global, Hongqi lebih daripada sekadar kenderaan, sebaliknya ia merupakan simbol kuasa.

Katanya, kenderaan itu direka khas untuk pemimpin nombor satu China dengan spesifikasi yang bukan calang-calang.
“Kaca tebal kalis peluru, tayar 21 inci yang boleh terus bergerak walaupun ditembak atau bocor, sistem penyaman tekanan udara tertutup untuk elak serangan kimia dan plat perisai yang boleh tahan letupan serta tembakan senjata kecil.
“Di dalamnya pula dilengkapi bilik mesyuarat mini dengan komunikasi video yang dienkripsi. Enjin? V12 turbocharged.
“Dan harga anggaran mengikut analisis pemerhati industri automotif—boleh mencecah RM7 juta atau lebih bergantung pada tahap spesifikasi perlindungan.
“Dalam erti kata lain, kalau dunia meletup sekali pun, kereta ini boleh jadi bunker bergerak,” tulisnya.
Tambahnya, kehadiran kereta itu di Malaysia lebih awal dari `tuan punya badan’ bukan pelik tapi merupakan prosedur operasi standard (SOP) biasa untuk lawatan berisiko tinggi.
Katanya, semua diperiksa awal, diuji, dikawal, dilindungi kerana dalam dunia China, Xi Jinping bukan sekadar presiden sebaliknya dianggap ‘inti kestabilan’ negara.
Ujarnya, sebarang ancaman ke atas dirinya bukan isu peribadi, tapi soal keselamatan nasional.
“Maka jangan hairan kalau mereka hantar segala sistem keselamatan tahap negara perang walaupun hanya untuk lawatan tiga hari,” katanya.
Sementara itu, Mazlan Syafie turut membangkitkan persoalan sama ada Malaysia turut memerlukan sebuah kenderaan sama seperti yang digunakan Xi Jinping tersebut.
“Jawapan dia bergantung pada konteks. Kalau negara berada dalam zon panas, penuh risiko, penuh musuh dalam dan luar, ada logiknya pemimpin kita juga perlu perlindungan setaraf.
“Tapi kalau sekadar nak tayang gaya atau ikut trend negara kuasa besar, lebih baik fikir dua kali sebab rakyat tak tengok berapa tebal pintu kereta pemimpin mereka, rakyat tengok berapa tebal komitmen mereka untuk jaga nasib orang bawah,” katanya.
Tambahnya, dalam dunia hari ini di mana seorang pemimpin itu boleh jadi sasaran atau penyelamat, kita disedarkan betapa dunia politik bukan lagi permainan lisan semata-mata.
Sebaliknya, ia tentang pengaruh, teknologi dan simbol dan kereta seperti Hongqi N701 bukan sekadar alat pengangkutan, sebaliknya ia adalah refleksi kepada betapa seriusnya sesebuah negara mengawal naratif dan mempertahankan ketuanya.
“Kita yang menonton dari jauh hanya mampu belajar dan berdoa agar pemimpin kita juga dijaga—bukan oleh kereta kalis peluru tapi oleh kepercayaan rakyat yang tulus dan ikhlas,” katanya.
Jinping akan mengadakan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia bermula esok, atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Beliau yang diiringi oleh menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan China, dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama. – MalaysiaGazette