MIC merakamkan ucapan takziah atas pemergian Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

KUALA LUMPUR – MIC menyifatkan pemergian Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai kehilangan besar kepada negara.

Presidennya, Tan Sri S.Vigneswaran berkata, ini kerana Abdullah tidak pernah meminggirkan suara dan keperluan komuniti India dan keperibadian beliau yang tenang, tinggi budi dan luhur tidak akan dilupakan.

“Tun Abdullah akan terus dikenang sebagai seorang negarawan di mana pentadbiran beliau berasaskan prinsip kesederhanaan, ketelusan dan keharmonian telah memperkukuh asas negara dalam era mencabar.

“Sumbangan beliau terhadap pembangunan negara amat besar, dan dalam konteks masyarakat India, beliau tidak pernah mengetepikan suara dan keperluan komuniti ini,” katanya hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Abdullah, 86, yang turut dikenali ‘Pak Lah’ menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam ini di Institut Jantung Negara (IJN), di sini

Pemergian bekas Perdana Menteri itu disahkan menantunya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam hantaran laman media sosialnya.

Abdullah yang merupakan Perdana Menteri kelima dilantik pada 31 Oktober 2003 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

Beliaui memimpin negara selama enam tahun meletakkan jawatan dan digantikan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak pada 2 April 2009.

Vigneswaran berkata, keprihatinan Abdullah terserlah melalui pendekatan inklusif, dasar yang adil serta kesediaannya mendengar dengan hati terbuka.

“MIC merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada seluruh keluarga Allahyarham.

“Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast