GEORGE TOWN – Kerajaan Sarawak mengambil langkah proaktif dengan memperluaskan pelaksanaan Program ‘Ngabas Anak Sarawak’ ke seluruh negara dalam usaha mendekati dan memberi pendedahan kepada mahasiswa berkaitan pembangunan negeri itu.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, inisiatif itu bertujuan menyampaikan maklumat tentang dasar dan bantuan kerajaan Sarawak kepada pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.
“Kita harap akan dapat berjumpa dengan mereka semua dan kalau telah capai lebih 50 peratus pun dikira sudah berjaya kerana kita akan memberi pendedahan mengenai dasar-dasar baharu di Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Tambah Roland, terdapat lebih 58,000 pelajar Sarawak yang sedang melanjutkan pengajian di seluruh negara, termasuk 27,000 di IPT awam dan selebihnya di IPT swasta.
Jelasnya, jumlah institusi pengajian yang banyak, kita merancang untuk melaksanakan pendekatan berpusat dengan menghimpunkan pelajar dalam zon tertentu.
“Oleh kerana bilangan institusi banyak, pendekatan kita adalah untuk mensentralisasikan pelajar-pelajar di zon tertentu agar mereka dapat hadir bersama-sama (ke program itu),” katanya.
Pelancaran pertama program itu diadakan di USM dan berjaya menarik penyertaan kira-kira 300 mahasiswa Sarawak dari kawasan utara Semenanjung meliputi negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis.
Antara institusi yang terlibat termasuk USM, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Institut Pendidikan Guru (IPG), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program turut diserikan dengan sesi forum bersama Timbalan Menteri MEITD (Pengajian Tinggi dan Inovasi), Datuk Dr Annuar Rapaee dan Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman yang mengupas hala tuju negeri melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030). – MalaysiaGazette