Peristiwa 'Diplomasi Pinjam Pen' olehTun Abdullah meredakan ketegangan China dan Jepun semasa menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – ‘Diplomasi pinjam pen’ antara pemimpin China dan Jepun ketika kedua-dua negara dalam suasana tegang antara peristiwa yang diingati semasa pentadbiran Perdana Menteri Kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut penganalisis politik antarabangsa, Ayman Rashdan Wong, peristiwa berkenaan berlaku pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) 2005 semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.

Pada tahun itu, hubungan antara China dan Jepun sangat tegang akibat isu sejarah Perang Dunia Kedua. Jepun dikatakan tidak mengakui jenayah perangnya yang mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan rakyat China.

Berlaku demonstrasi besar-besaran dengan produk Jepun diboikot dan dibakar di China.

Kedua-dua pemimpin utama iaitu Perdana Menteri Jepun, Junichiro Koizumi dan Perdana Menteri China, Wen Jiabao datang ke Kuala Lumpur bagi menghadiri sidang pertama EAS.

Pada sidang ini, berlaku peristiwa yang diingati apabila Junichiro memohon Jiabao meminjamkan pen kerana alat tulisnya tidak berfungsi untuk menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur yang pertama.

Hanya selepas dipujuk oleh Tun Abdullah, Jiobao meminjamkan pen miliknya kepada Perdana Menteri Jepun.

“Aku tak pasti sama ada ia disengajakan atau memang mengikut protokol tapi Koizumi dan Wen telah di tempatkan duduk bersebelahan, sedangkan mereka tak mampu see eye to eye.

“Secara kebetulan (yang ini pun aku tak pasti sengaja atau tak), pen Koizumi yang diletakkan di atas meja tak ada dakwat, pada saat semua pemimpin EAS kena menandatangani dokumen yang dinamakan Deklarasi Kuala Lumpur.

“Maka Koizumi meminjam pen daripada Wen. Wen kelihatan sedikit kekok, nak hulurkan atau tak? Namun Tun Abdullah yang berada di sebelah Wen dikatakan memujuknya untuk meminjamkan pen tersebut kepada Koizumi. Akhirnya, Wen menghulurkan pen itu. Koizumi menerimanya,” kata Ayman.

Menurutnya, hanya dengan tindakan kecil Tun Abdullah, Malaysia berjaya meredakan ketegangan antara dua kuasa besar di Asia Timur.

“Itulah seni diplomasi Malaysia, diplomasi yang halus tapi penuh makna. Tak perlu slogan yang gempak, imej yang grand, hanya bertindak sebagai honest broker yang membina jambatan antara kuasa yang saling bertelagah.

“Dan Tun Abdullah adalah salah seorang tokoh terulung dalam seni itu yang semakin dilupakan hari ini,” katanya.

Tun Abdullah meninggal dunia kira-kira pukulĀ  7.30 malam tadi selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara kerana mengalami sesak nafas pada sekitar 1 pagi pada Ahad lalu.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara bermula pukul 8.30 pagi bagi pengurusan jenazah.

Penghormatan terakhir akan diadakan di Dewan Solat Utama Masjid Negara bermula pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari.

Jenazah akan disembahyangkan selepas Solat Zohor di Masjid Negara dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast