KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali tidak menyangka dapat bertemu semula ‘bos’ lama yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas sekian lama berpisah.
Azmin yang kini menjadi Ketua Pembangkang Selangor berharap pertemuan di Masjid Negara pada bulan Syawal ini akan mendapat berkat buat mereka dan semua pihak.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa pernah menjadi Timbalan Presiden PKR yang mana Anwar menjadi Presiden parti itu pada 2018.
Namun beliau terlibat dalam ‘Langkah Sheraton’ apabila menyertai Bersatu sebagai ahli biasa pada 2020 dan menjadi menteri Kabinet di bawah Kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Menjelang Solat Zohor, saya menyambut salam dari YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Lama kami tidak bertemu. Kami dipertemukan hari ini di dalam Masjid Negara di bulan Syawal. Moga Allah SWT memberkati kita semua,” tulisnya di Facebook miliknya, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Mohamed Azmin hadir di Masjid Negara untuk memberi penghormatan terakhir kepada negarawan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Turut hadir beberapa pimpinan kanan Bersatu termasuk Muhyiddin, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta beberapa Ahli Dewan Negeri Selangor.
Sementara itu, Azmin menyifatkan Abdullah sebagai seorang insan yang berintegriti, sederhana dan tenang selain seorang negarawan yang cukup dihormati oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.
Katanya, jasa dan bakti Allahyarham amat besar kepada pembangunan umat dan negara yang berteraskan nilai yang luhur dan prinsip yang utuh.
“Malaysia kehilangan permata dan seorang pemimpin yang berjiwa besar. Marilah kita mendoakan semoga Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi mendapat husnul khatimah dan rohnya ditempatkan di dalam syurga yang penuh dengan ni’mat Allah SWT,” katanya. – MalaysiaGazette
