KUALA LUMPUR – Penyanyi legenda, Datuk Amy Search enggan menukar tarikh konsert solo pertamanya susulan berlangsung hari sama dengan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC pada 26 April ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Konsert Amy Search Magic First Solo Concert yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena terletak bersebelahan dengan stadium itu.
Bagaimanapun Amy yang juga anak kelahiran Johor dengan nada bergurau memberitahu kepada peminatnya untuk tidak menonton perlawanan itu kerana sudah mengetahui jawapannya.
“Tak perlu tengok sebab sudah tentu JDT menang. Mana pernah JDT kalah,” balas Amy kepada pengikutnya itu di media sosial.
Bersetuju dengan jawapan yang diberikan, individu itu memberitahu dia akan hadir menonton konsert solo pertama Amy meskipun bakal terlepas menyaksikan perlawanan bola sepak itu.
“Terbaik datuk. Betul juga. Baiklah saya on konsert Amy,” tulisnya.

Terdahulu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan perubahan tarikh baharu bagi aksi final Piala Malaysia yang membabitkan pertembungan JDT dan Sri Pahang.
Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu dalam kenyataan memaklumkan tarikh baharu aksi final itu ditetapkan pada 26 April di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Untuk rekod, selepas 44 tahun bergelar anak seni, Amy bakal muncul dengan konsert solo pertamanya Amy Search Magic First Solo Concert di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 26 April ini.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 67, berkata, konsert berkenaan akan menjadi detik penting dalam sejarah kerjaya seninya selepas lebih empat dekad berkelana dalam industri muzik.
Tiket untuk konsert itu sudah dijual sejak 5 Februari lalu di www.wowtix.com.my. – MalaysiaGazette