Gerakan Media Merdeka (Geramm)

KUALA LUMPUR – Kesilapan serius menerbitkan Jalur Gemilang memerlukan lebih daripada sekadar permohonan maaf, iaitu perlu disusuli dengan tindakan akauntabiliti dalaman yang jelas oleh akhbar Sin Chew Daily.

Gerakan Media Merdeka (GERAMM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, organisasi media memikul tanggungjawab besar dalam memelihara kepercayaan awam dan menghormati simbol negara.

Walaupun kesilapan boleh berlaku, tambahnya, ia mesti ditangani secara telus iaitu melalui semakan dalaman, penambahbaikan prosedur editorial serta komitmen untuk mengelakkan kesilapan serupa pada masa hadapan.

“Dalam masa yang sama, GERAMM mengecam sekeras-kerasnya sebarang seruan untuk mengambil tindakan melampau, termasuk boikot, gangguan terhadap petugas media atau penggunaan undang-undang lapuk seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA).

“Reaksi sebegitu tidak membantu perbincangan yang membina dan hanya membahayakan kebebasan media di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, insiden itu sekali lagi menyerlahkan keperluan mendesak untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia yang bebas dan berfungsi.

Jelasnya, badan seperti itu yang bebas daripada campur tangan kerajaan atau politik boleh menjadi platform profesional dan adil bagi menangani isu etika serta aduan awam terhadap media tanpa perlu menggunakan tindakan undang-undang.

“Kebebasan media dan akauntabiliti mesti bergerak seiring.

“Sehubungan itu, kami menggesa Sin Chew Daily memastikan tindakan bertanggungjawab diambil secara dalaman, dan kami menyeru orang ramai menangani isu ini secara berhemah dan tidak mengambil tindakan yang boleh menimbulkan ketakutan atau bahaya kepada wartawan serta pengamal media,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, syarikat akhbar Sin Chew Daily telah memohon maaf atas ilustrasi di muka depannya yang mempunyai kesilapan apabila Jalur Gemilang tidak mempunyai anak bulan.

Dalam satu kenyataan, akhbar berbahasa Cina itu mengaitkannya dengan `kesilapan teknikal’.

Kesilapan itu bagaimanapun mengundang kritikan dan kecaman pelbagai pihak yang menyifatkannya tidak sepatutnya berlaku, sekali gus menggesa tindakan tegas diambil terhadap pihak pengurusan akhbar berkenaan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast