Tangkap layar video tular pemandu pacuan empat roda melarikan diri selepas cuba ditahan dalam kejadian di BSI, Johor Bahru semalam

JOHOR BAHRU – Polis memburu seorang pemandu pacuan empat roda yang bertindak agresif terhadap anggota polis dan memiliki senjata berbahaya ketika melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek iaitu seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun melarikan diri dengan Toyota Triton dipandunya sebelum dikejar pihak polis.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku lebih kurang pukul 8.50 malam ketika dua anggota polis dari balai BSI sedang bertugas di laluan bas.

“Pada mulanya polis menahan kenderaan dipandu suspek selepas mendapati dia tidak menggunakan laluan yang dibenarkan. Semasa pemeriksaan dijalankan, suspek bertindak melarikan diri dan memandu secara berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek melarikan diri sejauh tujuh kilometer (km) dan dikejar dua motosikal polis trafik serta lima buah unit kereta peronda (MPV).

Raub berkata, suspek kemudian berhenti dan meninggalkan kenderaan tersebut di tepi jalan sebelum melarikan diri ke dalam kawasan semak.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan itu pihaknya menemui sebatang kayu golf dan sebilah pisau berukuran 18 sentimeter.

Menurutnya, semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau melibatkan pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Suspek telah didaftarkan sebagai orang yang dikehendaki polis dan usaha mengesannya giat dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek dan lokasi suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Radhiah Ahmad  013-566 5710 atau hotline IPD JBS 07-218 2323.

Kes disiasat dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya tanpa alasan yang sah.

Siasatan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahayakan pengguna jalan raya juga dilakukan.

Terdahulu tular video berdurasi 14 saat memaparkan kenderaan pacuan empat roda berwarna putih memandu mengundur dan cuba mengelak dari seorang individu yang cuba memberhentikan kenderaan terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast