JOHOR BAHRU – Seorang remaja 16 tahun ditahan reman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes menyebarkan gambar suntingan berunsur lucah melibatkan pelajar dan bekas pelajar sebuah sekolah persendirian di Kulai.
Perintah reman sehingga Ahad ini dibenarkan Majistret Nabilah Nizam selepas permohonan dikemukakan pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, hari ini.
Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun turut ditahan reman enam hari bermula hari ini bagi tujuan yang sama.
Permohonan reman itu dipohon bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) merujuk kepada kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, terutama berkaitan dengan penyebaran kandungan jelik, lucah, palsu, mengugut atau mengganggu melalui internet atau media elektronik.
Minggu lalu, remaja bawah umur itu ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan menyunting gambar lucah menggunakan wajah mangsa dan mengedarkannya dalam media sosial untuk dijual dengan harga RM2 kepada orang awam.
Kes itu terbongkar selepas seorang wanita tempatan berusia 18 tahun membuat laporan polis selepas mendapati wajahnya telah digunakan dalam gambar lucah yang tular dalam media sosial.
Susulan itu, lembaga pengarah sekolah itu menjelaskan salah seorang pelajar yang menjadi dalang dalam insiden berkenaan telah dibuang sekolah.
Sebelum itu, sekolah persendirian itu mendapat kecaman ramai apabila sekadar memberi teguran ringan seperti yang didakwa segelintir pihak di media sosial.
Bagaimanapun, pihak sekolah tersebut mengakui pihak sekolah gagal bertindak pantas dalam menangani perkara berkenaan yang akhirnya mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Setakat semalam, Polis Johor memaklumkan pihaknya menerima 29 laporan polis berhubung kes pelajar menyunting dan menyebarkan gambar pelajar perempuan berunsur lucah dalam media sosial.- MalaysiaGazette
















