PONTIAN – Sebuah rumah dan empat motosikal hampir musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Chengkih, Kukup, di sini hari ini.
Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan 1 Mohd Nazri Ahmad Shahidon dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran berkenaan pada pukul 4.27 pagi.
Susulan itu katanya, 15 anggota dibantu dua jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), satu unit jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan satu lori tangka dihantar ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 50 x 40 kaki di mana 90 peratus daripada keseluruhan rumah tersebut musnah dalam kebakaran.
“Kebakaran tersebut turut memusnahkan 10 peratus daripada rumah jenis separuh kekal dan berkeluasan 10 x 10 bersebelahan rumah pertama tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, selain itu turut musnah motosikal jenis Yamaha 125Z dan Honda Wave musnah 90 peratus serta motosikal jenis Honda Wave yang musnah 20 peratus.
Menurut beliau, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu dan kebakaran dapat dikawal pukul 5.10 pagi sebelum tamat pukul 6.28 pagi.
Tambahnya, punca kebakaran masih dalam siasatan.- MalaysiaGazette
















