GEORGE TOWN – Tiada laporan polis diterima setakat ini berhubung video tular penganjuran sambutan pesta muzik Songkran yang didakwa berlaku di Batu Feringghi baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, semakan mendapati acara itu dianjurkan oleh sebuah restoran yang memiliki lesen perniagaan dan tempat hiburan am daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
“Polis terdahulu mengesan sebuah video tular menerusi media sosial hari ini mengenai aktiviti sambutan Pesta Songkran di sebuah restoran di Feringghi Bay dan ia turut menarik perhatian masyarakat umum.
“Berikutan acara sambutan itu diadakan di dalam kawasan persendirian (Feringghi Bay), maka pihak penganjur tidak memohon permit daripada PDRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Abdul Rozak, pemantauan oleh pihak polis sepanjang acara itu berlangsung mendapati tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.
ARTIKEL BERKAITAN:
Pesta Songkran: Kariah kesal wanita menari seksi berhampiran masjid
Terdahulu, kariah Masjid Jamek Ar-Rahman di Batu Feringghi di sini melahirkan kekesalan susulan penularan satu video memaparkan sekumpulan wanita menari dalam keadaan berpakaian separuh bogel semasa sambutan pesta muzik Songkran baru-baru ini.
Pengerusi kariahnya, Ismail Din berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas video berkenaan tular di media sosial pada Ahad lalu. – MalaysiaGazette