Anggota bomba mengeluarkan warga emas dalam kereta dipandunya selepas terlibat kemalangan dengan lori di Jalan Ayer Hitam-Kulai di Kulai, hari ini.

KULAI – Warga emas maut selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan dengan lori berhampiran pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Air Bemban di Jalan Ayer Hitam-Kulai di sini hari ini.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Firdaus Juritah dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 11.02 pagi.

“Pihak bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 11.25 pagi melibatkan perjalanan sejauh 19 kilometer.

“Kemalangan tersebut melibatkan kereta jenis Toyota Vios dengan lori membawa muatan pasir,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pemandu kereta terbabit, Kew Heng yang berusia 76 tahun dikeluarkan menggunaakan peralatan khas namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala lelaki yang memandu lori tersebut pula selamat.

Beliau memberitahu, seramai enam anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terlibat dalam operasi menyelamat tersebut.

Tambah Mohd Firdaus, operasi berkenaan selesai sepenuhnya pada pukul 11.26 pagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast