Penganjuran sambutan Aidilfitri yang melibatkan nyanyian lagu hari raya bersama artis dan anak-anak muda yang videonya tular di media sosial. – Foto: FB Dr Ahmad Sanusi

KUALA LUMPUR – Ahli akademik yang juga pendakwah, Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi menegur penganjuran sambutan Aidilfitri yang melibatkan nyanyian lagu hari raya bersama artis dan anak-anak muda yang videonya tular di media sosial.

Apatah lagi,  tarian dan joget tersebut dilakukan di dalam premis sekolah iaitu tempat anak-anak dididik mengenal agama dan budaya.

Beliau berkata, zakat fitrah yang dibayar bertujuan menyempurnakan kekurangan puasa umat Islam di bulan Ramadan.

“Anehnya setelah kita membayar zakat fitrah dan berpuasa bagi membersihkan diri kita dari dosa, kita sambut pula dengan nyanyian, jogetan serta pergaulan bebas sesama lelaki dan wanita,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambahnya, keseronokan sambutan hari raya tidak sepatutnya dicemari dengan dosa memandangkan hari raya merupakan salah satu hari kebesaran dalam Islam.

“Allah menjadikan Hari Raya sebagai gantian kepada perayaan Jahiliah.

“Namun, apa yang membimbangkan, kita pula yang mengembalikannya dengan sifat sambutan Jahiliah,” katanya.

Terdahulu, tular video yang memaparkan anak-anak muda dipercayai pelajar bernyanyi dan berjoget dalam acara sambutan Hari Raya Aidilfitri yang didakwa diadakan di sebuah sekolah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Video itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen khususnya ibu bapa yang menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menyiasat penganjuran majlis tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here