Petugas-petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sibuk melakukan persiapan bagi proses pengundian awal yang akan diadakan pada 22 April, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, di Dewan Merdeka, Tapah, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 APRIL 2025.

TAPAH – Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Mah Hang Soon berkata, hala tuju pengundi Cina akan menentukan corak kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Dr. Mohamad Yusri Bakir, di pilihan raya kecil Ayer Kuning.

Beliau berkata, MCA giat berkempen di Ayer Kuning, tetapi cabaran terbesar adalah menyakinkan perantau untuk balik mengundi di kampung.

Katanya kepada Sinchew Daily, perantau keturunan Melayu telah balik kampung semasa Aidilfitri, manakala perantau keturunan Cina ketika musim ziarah kubur Qing Ming.

Ujarnya, keadaan itu sekali gus menyebabkan hasrat balik mengundi tidak tinggi dan mungkin menjejaskan peratusan yang keluar mengundi.

Hang Soon berkata, untuk mengatasi cabaran itu, MCA telah menggunakan saluran parti di kawasan berhampiran, termasuk Gopeng, Tanjung Malim dan Kampar, untuk mengajak pengundi Ayer Kuning balik mengundi.

Beliau yang juga merupakan Ketua MCA Bahagian Tapah dan Pengerusi MCA Perak berkata, walaupun pilihan raya kecil tidak akan menjejaskan kerajaan negeri dan Persekutuan, kemenangan BN akan memberi suntikan keyakinan kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ditanya mengenai sentimen pengundi Cina,  Hang Soon berkata, ketika berkempen, rata-rata pengundi di kawasan tumpuan Cina memberi tanda positif kepada Mohamad Yusri.

Jelasnya, dalam dua pilihan raya sebelum ini, calon PAS sekadar mendapat sokongan antara 0.4 hingga 0.7 peratus di Kampung Coldstream yang merupakan kawasan tumpuan pengundi Cina.

“Terdapat 43 peratus pengundi bukan Melayu di Ayer Kuning, dengan 21 peratus merupakan Cina, hampir 15 peratus India dan tujuh peratus Orang Asli.

“Ini merupakan satu kawasan campuran dan undi setiap kaum adalah sama pentingnya.  Pengundi Cina akan menentukan corak kemenangan BN,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast