KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini dalam dalam tindakan meneliti kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak-pihak berautoriti berkaitan.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, kenyataan Abdul Hadi bahawa kemenangan politik lebih utama berbanding menunaikan umrah dan haji mendapat perhatian pihaknya.
“Jakim menyeru semua pihak agar sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh hal-hal berkaitan agama supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pagi ini.
Media semalam melaporkan, Abdul Hadi memberi ‘signal’ supaya masyarakat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.
Presiden Pas itu mendakwa, ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah SAW dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.
Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.
“Kita mesti faham, kemenangan politik kepada Islam sangat penting. Islam mesti berkuasa dan memerintah sekali gus memimpin.
“Di Malaysia, orang Melayu adalah majoritinya Islam. Mereka berhak memimpin, bukan bermakna kita menafikan hak bukan Islam
“Bukan Islam dibenarkan berada dalam negara Islam dan menyertai kerajaan tetapi kuasa politik yang tinggi mesti (diterajui) orang Islam,” katanya ketika berucap pada ceramah Perikatan Nasional (PN) di sini sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning malam tadi.
Turut hadir, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Naib Presiden BERSATU, Datuk Ahmad Faizal Azumu; Penolong Setiausaha Agung II PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman dan Yang Dipertua PAS negeri, Razman Zakaria.-MalaysiaGazrtte