Daniel Khoo merupakan pemilik syarikat lori treler lebih sedekad.

KUALA LUMPUR – Pemilik syarikat pengangkutan digesa tidak bersikap sambil lewa dalam pengambilan pemandu kenderaan berat sehingga akhirnya mengundang padah kepada umum dan diri sendiri.

 Ketua Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo yang memiliki syarikat pengangkutan lori treler lebih sedekad berkata, sikap acuh-acuh ini bukan sahaja menyebabkan penguasa berdepan kerugian tetapi juga boleh menjejaskan reputasi serta kelangsungan perniagaan.

“Syarikat tidak boleh memandang ringan proses pengambilan pemandu. Hanya kerana mereka ada lesen, itu tidak bermaksud mereka layak. Lebih teruk lagi, ada juga tidak memiliki lesen namun segelintir pengusaha syarikat ‘tutup mata’ dan menggajikan mereka kerana tidak ada pilihan.

“Hakikatnya, kita wajib buat semakan dengan polis untuk pastikan calon bebas daripada rekod jenayah, terutamanya kes kecurian, dadah atau kekerasan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Daniel menyifatkan tragedi ngeri di Teluk Intan, Perak melibatkan kematian sembilan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sebenarnya sebagai satu amaran keras kepada semua pemain industri.

“Ini bukan lagi soal kelemahan individu, ini tentang kecuaian sistem. Bila kita ambil pemandu yang tidak ditapis, risiko bukan saja kepada jalan raya, tapi kepada seluruh operasi syarikat,” katanya tegas.

Tambah beliau, terdapat ramai pengusaha mula mengabaikan aspek keselamatan dan latar belakang semata-mata kerana tekanan kekurangan tenaga kerja, satu trend yang dianggapnya sebagai ‘bom jangka menunggu masa untuk meletup’.

“Kita faham cabaran mendapatkan pemandu, tetapi jika terlalu mudah memberi laluan kepada calon yang tidak layak, kita sedang membuka pintu kepada malapetaka.

“Dalam banyak kes kemalangan serius, bukan sahaja pemandu akan disiasat, malah syarikat juga berisiko dikenakan tindakan.

“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Kementerian Pengangkutan boleh menggantung lesen operasi syarikat selama sebulan untuk siasatan dan penambahbaikan.

“Bagi syarikat yang mempunyai lebih daripada 10 lori, ini boleh melumpuhkan keseluruhan operasi dan menjejaskan aliran kewangan,”ujarnya.

Daniel berkata, di syarikat miliknya, semakan latar belakang terhadap calon pemandu adalah satu keutamaan wajib sebelum diambil bekerja.

“Jika calon ada rekod jenayah seperti mencuri, merompak, terlibat dalam dadah kami terus tolak. Tak kira kalau dia ada pengalaman sekalipun, syarikat kami tak sanggup tanggung risiko,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan sistem data berpusat yang membolehkan pengusaha menyemak maklumat seperti saman tertunggak, lesen digantung dan rekod jenayah secara dalam talian dengan pantas dan telus.

“Kita tak boleh teruskan model pengurusan berdasarkan ‘tutup sebelah mata’. Kita perlukan sistem yang mesra industri tapi tegas. Pemandu cuai atau bersejarah hitam tidak sepatutnya dibenarkan memegang stereng lori yang membawa nyawa dan bebanan berbahaya di jalan raya.

“Budaya ambil mudah ini perlu dihapuskan jika Malaysia mahu melihat industri pengangkutannya berkembang secara selamat, profesional dan berdaya tahan.

“Dalam dunia pengangkutan, keputusan yang cuai boleh mengorbankan nyawa. Maka biarlah kita kekurangan pemandu, daripada melantik yang bakal membawa bala,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast