Mohamad Karim ditemui selepas upacara pengkebumian Allahyarham Manarina Hasya di Tanah Perkuburan Islam Felda Chempelak, Labis, Segamat, malam tadi.

SEGAMAT – Bapa kepada penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) yang maut dilanggar bas di universiti itu kelmarin, menyifatkan permergian Allahyarham Manarina Hasya Mohamad Karim, 22, sebagai mati syahid.

Bapa mangsa, Mohamad Karim Sulaiman, 51, berkata, ini kerana anaknya itu meninggal dunia semasa sedang menuntut ilmu.

“Dia pergi sebagai mati syahid akhirat, Allah ambil dia ketika dia sedang menuntut ilmu,” katanya ditemui selepas jenazah Allahyarham Manarina Hasya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chempelak, Labis di sini malam tadi.

Jenazah Manarina Hasya disemadikan pukul 11.45 malam tadi dihadiri kira-kira 200 kenalan Allaryarham, saudara-mara dan penduduk kampung yang mengiringi perjalanan akhir pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan itu ke negeri abadi.

Dalam kejadian kelmarin, media melaporkan Manarina Hasya disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 petang ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.

Mangsa mengalami kecederaan parah pada anggota badan selepas dirempuh sebuah bas ketika beratur di perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM Sintok pukul 8.45 pagi kelmarin.

Mengulas lanjut, Mohamad Karim berkata, keluarganya mahu menuntut keadilan dan bercadang mengambil tindakan undang-undang berhubung insiden tersebut.

Mohamad Karim berkata, dia menyerahkan kepercayaan sepenuh terhadap siasatan yang dijalankan pihak universiti dan polis.

“Setakat ini pihak UUM ada siasatan tersendiri bersangkut paut dengan siasatan pihak polis, apa-apa keputusan (bergantung) dlhasil siasatan kedua-dua belah pihak.

“Jika kita sudah dapat laporan terperinci (laporan siasatan), insya-Allah kita mungkin akan ambil tindakan, jika perlu,” katanya.

Selain itu, bapa empat anak itu berkata, anaknya itu menunjukkan perubahan sikap yang ketara ketika menyambut Hari Raya Aidilftri baru-baru ini.

Katanya, Manarina Hasya suka membantu membuat kerja rumah tanpa disuruh sehingga siap tidak seperti sebelumnya.

“Biasa dia memilih untuk buat kerja tetapi hari raya hari itu, dia buat kerja tanpa disuruh sampai siap, itulah perubahan ketara yang saya nampak,” katanya.

Dia mengakui kehilangan anak yang merupakan harapan keluarga untuk membawa pulang segulung ijazah namun hasratnya tidak kesampaian setelah takdir telah tertulis anaknya dijemput Ilahi.

Ujarnya, tiada keluarga mahukan kejadian yang menimpa anaknya itu berlaku namun takdir Allah menentukan segalanya, dia reda dan menyifatkan perancangan Allah itu lebih baik.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast