Pengerusi Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan, Prakash P Kalivanan.

KUALA LUMPUR – Insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini harus menjadi amaran dan pengajaran kepada kerajaan dan pemaju untuk menilai semula pembangunan bandar dengan kepadatan penduduk yang tinggi.

Pengerusi Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan (NHRA), K Prakash berkata, tragedi itu bukan sekadar kemalangan terpencil, tetapi manifestasi jelas kegagalan sistemik dalam merancang kediaman di bandar secara menyeluruh dan bertanggungjawab.

“Letupan ini menimbulkan trauma kepada penduduk dan menggugat rasa selamat dalam kalangan komuniti. Ia mencerminkan realiti yang membimbangkan apabila keselamatan dan kualiti hidup dikorbankan atas nama pembangunan pantas,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Menurut Prakash, pembangunan pesat projek-projek kediaman bertingkat di kawasan seperti Putra Heights, Subang Jaya, Puchong dan Shah Alam semakin menyesakkan landskap bandar tanpa mengambil kira kemampuan infrastruktur sedia ada.

Tambah beliau, isu-isu seperti parkir haram yang menghalang laluan kecemasan, tekanan terhadap fasiliti kesihatan, sekolah, serta sistem utiliti yang tidak dinaik taraf telah lama membelenggu komuniti bandar.

Kini isu itu mengundang risiko besar seperti kebakaran dan letupan, ujarnya.

“Kita terlalu lama menutup mata terhadap kepadatan melampau. Projek-projek diluluskan tanpa kajian menyeluruh tentang impaknya kepada sistem sokongan di sekeliling. Ini bukan sahaja membahayakan nyawa, malah menjejaskan kesejahteraan jangka panjang penduduk.

“Kami benar-benar kecewa terhadap pendekatan pembangunan yang terlalu tertumpu kepada angka dan kelulusan cepat tanpa mengambil kira suara penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, Prakash menggesa kerajaan khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak berkuasa tempatan agar memberi perhatian serius terhadap pandangan komuniti yang terkesan dan mengambil tindakan berasaskan data serta keperluan sebenar.

Menurutnya, sudah tiba masa Malaysia memperkenalkan satu piawaian perumahan nasional yang menekankan aspek keselamatan, kelestarian dan daya huni, bukan hanya mengejar jumlah unit dibina.

“Perumahan bukan sekadar tempat tinggal, ia adalah ruang hidup. Kita perlu wujudkan persekitaran yang menyokong kehidupan seimbang dan selamat bukan sekadar kotak-kotak konkrit dalam hutan batu.

“NHRA sedia bekerjasama rapat dengan pihak kerajaan, pemaju dan komuniti tempatan dalam mewujudkan ekosistem perumahan yang benar-benar berpaksikan kepentingan rakyat.

“Insiden Putra Heights harus menjadi titik tolak perubahan. Kita tidak boleh terus biarkan pembangunan mengabaikan keselamatan. Ini bukan isu teknikal semata-mata sebaliknya soal masa depan dan nyawa rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here