JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak perempuan maut manakala ibu dan bapanya cedera selepas kereta dinaiki terbabas di Jalan Adda 5, Taman Adda Height di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian melibatkan tiga beranak itu berlaku pukul 12.40 tengah malam.
“Kanak-kanak berusia tiga tahun itu bersama-sama ibunya yang duduk di tempat duduk hadapan sebelah kiri dalam perjalanan dari Taman Mount Austin ke rumah mereka di Taman Adda Height.
“Apabila sampai di tempat kejadian, bapa mangsa yang memandu kereta tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar sebarang pokok.
“Akibat kejadian tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, ibu mangsa mengalami patah di bahagian peha kiri dan kanan kini dirawat di Zon Merah Hospital Sultan Ismail (HIS) di sini.
Bapanya pula kata Raub, mengalami cedera di bahagian kaki sebelah kanan dan dirawat di Zon Kuning HSI dan siasatan dijalankan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Raub meminta orang ramai uyang menyaksikan kejadian tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nurulhadi Ali menerusi talian 0195230102 atau hadir ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Izwan Abdullah berkata, kemalangan itu membabitkan kereta jenis Perodua Myvi itu mengakibatkan ibu bapa mangsa tersepit.
“Dua mangsa iaitu seorang lelaki berusia 24 tahun dan seorang wanita berumur 23 tahun, tersepit di bahagian hadapan kenderaan dan mengalami kecederaan.
“Kanak-kanak Perempuan itu pula tidak tersepit namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak menggunakan peralatan khas penyelamatan jalan raya (RTA) untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit.
“Kedua-dua mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke HIS manakala mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – MalaysiaGazette