Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim

KUANTAN – Pahang merekodkan peningkatan ketara kes demam denggi pada tahun lepas apabila sebanyak 1,958 kes dilaporkan berbanding 1,609 kes pada tahun sebelumnya.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, daerah Kuantan mencatat jumlah tertinggi dengan 723 kes daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.

“Daerah lain yang turut mencatat kes tinggi ialah Temerloh (404 kes), Pekan (145), Raub (138), Bera (134), Maran (129), Rompin (125), Bentong (83), Lipis (41), Jerantut (27) dan Cameron Highlands (9),” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Hassanuddin Salim (Kuala Semantan-Pas) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal keempat DUN Pahang ke-15, di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Tambah Razali, sebanyak lima kes kematian direkodkan akibat komplikasi denggi pada tahun lepas di mana masing-masing satu kes di Kuantan, Bentong, Rompin, Raub dan Bera berbanding dua kematian pada tahun 2023, .

Razali menjelaskan peningkatan kes tersebut adalah selari dengan gelombang epidemiologi yang lazimnya memuncak setiap empat hingga lima tahun.

Beberapa faktor lain turut dikenal pasti sebagai penyumbang utama, termasuk perubahan cuaca, pertukaran serotaip virus denggi dan pergerakan masyarakat yang kembali aktif selepas pembukaan semua sektor ekonomi dan pelancongan.

“Selain itu, pembiakan nyamuk Aedes dalam dan sekitar kediaman terus menjadi faktor utama penularan wabak ini,”katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 6,579 premis dikenalpasti menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes hasil pemeriksaan di 680,491 premis sepanjang tahun 2024.

“Dan sebanyak 4,036 premis telah dikeluarkan cadangan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan) 2000, dengan nilaian kompaun yang ditawarkan sebanyak RM 2,018,000.00.

“Sebanyak 1,161 notis di bawah Seksyen 8, akta yang sama juga telah dikeluarkan kepada penduduk yang mempunyai tempat-tempat yang berpotensi untuk pembiakan jentik-jentik Aedes dan kesemuannya telah dijalankan tindakan susulan.

“Tiga penyumbang tertinggi tempat pembiakan nyamuk Aedes yang ditemui adalah di rumah kediaman dan kedai dengan bilangan 5,596, diikuti dengan tanah/lot kosong 587 dan di sekolah/insititusi pendidikan 170,” katanya lagi.

Dalam usaha mengekang penularan wabak, Razali berkata kerajaan negeri melaksanakan pelbagai langkah termasuk Program One Hour Clean Up Negeri Pahang secara bulanan di semua agensi kerajaan.

Sebanyak 427 aktiviti pembersihan turut dijalankan sepanjang tahun lalu di pelbagai fasiliti termasuk pejabat, kuarters kerajaan, institusi pendidikan dan masjid.

Kerajaan Negeri turut menjalankan kempen “Cari dan Musnah 10 Minit Seminggu Sekali” sebagai inisiatif untuk mendidik masyarakat agar bertindak secara proaktif dalam pencegahan denggi.

Razali berkata, Jawatankuasa Wabak Peringkat Daerah akan diaktifkan sekiranya berlaku wabak, manakala Pasukan Petugas Khas Denggi Negeri Pahang yang bersidang dua kali setahun akan menyelaras tindakan semua agensi berkepentingan.

“Kerajaan Negeri komited memastikan setiap tindakan diambil bagi mengurangkan beban kesihatan awam akibat demam denggi, namun ia hanya akan berjaya jika masyarakat turut sama memainkan peranan,”katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast