KUALA LUMPUR – Pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kumpulan penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN di Bangkok serta sesi perbincangan maya bersama pihak Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar disifatkan sebagai pendekatan diplomatik yang inklusif dalam menangani krisis kemanusiaan berpanjangan di Myanmar.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata pendekatan itu jelas menunjukkan komitmen Malaysia dalam memastikan keamanan, dialog terbuka dan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada rakyat Myanmar pasca gempa bumi.
“Peranan Malaysia merupakan langkah penting dalam membina kepercayaan serta membuka ruang untuk penyelesaian yang adil dan berkekalan setelah lama Myanmar kelihatan disisihkan akibat pertembungan dalaman. ABIM melihat inisiatif ini sebagai model diplomatik tahap tinggi yang perlu dijadikan teras utama dalam kalangan negara-negara ASEAN.
“ABIM turut menekankan usaha interaksi dan dialog dengan Myanmar telah berjaya menghentikan konflik bersenjata atas asas kemanusiaan dan ribuan tahanan politik juga telah dibebaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, langkah itu juga membuka ruang untuk merangka penyelesaian yang lebih menyeluruh untuk krisis kemanusiaan yang berlaku terutamanya membabitkan beberapa komuniti dalam Myanmar termasuk Rohingya, yang telah berlarutan sehingga membebankan negara-negara serantau.
“Untuk itu Malaysia perlu terus memperkukuhkan organisasi ASEAN sebagai platform diplomatik yang dapat berperanan dengan lebih proaktif dan berkesan.
“Peluang ini perlu diambil untuk secara lebih serius menyelesaikan isu pelarian Rohingya yang berlarutan sekian lama. Ruang yang sama wajar dilakukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk terus mengadakan rundingan dan dialog bersama kumpulan berkepentingan lain dalam Myanmar,” ujarnya lagi.
ABIM menegaskan Malaysia mesti terus berperanan secara konsisten dalam menegakkan hak asasi manusia di peringkat serantau dengan memanfaatkan kuasa diplomatik untuk membuat perubahan. -MalaysiaGazette