GEORGE TOWN – Kementerian Kesihatan (KKM) optimis isu kekurangan doktor pakar dalam negara dapat ditangani menerusi langkah penstrukturan jawatan dan pelbagai inisiatif latihan sedia ada.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kerajaan kini dalam proses menyusun semula struktur penjawatan di KKM selain telah meluluskan 800 jawatan tetap untuk doktor pakar setiap tahun sejak 2023.
“Dengan perstrukturan ini dan melalui pelbagai inisiatif termasuk pelaksanaan laluan kepakaran alternatif atau parallel pathway, kita yakin dapat melahirkan lebih ramai pakar dari dalam negara sendiri.
“Kita sebenarnya mempunyai keupayaan dan bekalan yang mencukupi serta mempunyai satu sinergi antara perkhidmatan kesihatan awam dan swasta,” katanya mengulas isu kekurangan doktor pakar di hospital dan klinik kerajaan yang turut berpunca daripada penurunan pendaftaran doktor serta pemberhentian doktor pelatih setiap tahun.
Terdahulu beliau menghadiri majlis perasmian program Miracle Baby MBP (misi kedua) di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenaan cemar duli menyempurnakan perasmian tersebut.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, seramai 692 pakar sedang mengikuti laluan parallel pathwaymanakala 6,211 pegawai perubatan pula sedang menjalani latihan kepakaran selain negara juga menyediakan 1,650 slot latihan pakar setiap tahun.
“Pindaan terhadap Akta 50 turut membuka lebih banyak ruang pengiktirafan kepada laluan kepakaran alternatif yang sebelum ini menjadi isu dalam kalangan pengamal perubatan.
“Permintaan dari Sabah dan Sarawak untuk membawa pakar dari Semenanjung dengan tawaran insentif khas juga sedang dipertimbangkan dan ini termasuk juga cadangan membawa pakar dari luar negara, sesuatu yang pernah dilakukan dan kini sedang diperhalusi,” katanya. – MalaysiaGazette