Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek beramah mesra dengan pelajar ketika membuat tinjauan penyerahan keputusan SPM Tahun 2024 di SMK Convent Kajang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL 24 APRIL 2025.

KAJANG – Kementerian Pendidikan (KPM) menyarankan masyarakat agar meraikan semua calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2024 biar pun apa jua keputusan yang mereka perolehi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua calon peperiksaan berkenaan telah memberi sumbangan kepada purata gred dalam keputusan SPM tahun lalu.

Tambah beliau, apa yang lebih penting, semua pelajar itu terus menyambung pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya tak nak sebut yang tak cemerlang tapi saya sudah sebut tahniah semua kepada anak-anak. Kita kena ingat apa sahaja keputusan, mereka ini menyumbang kepada gred purata sekolah, daerah dan negeri.

“Jadi keputusan mereka ini sangat penting dan saya harap apa saya sebut tadi mesti sambung pelajaran tidak kira apa pun keputusan mereka dan kita akan beri sokongan itu.

“Kita raikan semua anak-anak. Sebab itu saya kata tadi, keputusan kita untuk meraikan semua anak-anak kerana setiap mereka telah berusaha mendapat keputusan masing-masing dan ada sumbang masing-masing kepada kelayakan, kebancian, kelulusan dan kejayaan.

“Kita raikan dengan penuh rasa bangga dan keputusan itu adalah untuk memberi semangat kepada untuk sambung pendidikan lebih tinggi,” katanya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bercakap kepada media selepas membuat tinjauan penyerahan keputusan SPM Tahun 2024 di SMK Convent Kajang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL 24 APRIL 2025.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat tinjauan penyerahan keputusan SPM Tahun 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Kajang di sini hari ini.

Secara keseluruhan, keputusan SPM 2024 yang diumumkan hari ini menyaksikan seramai 355,933 calon atau 94.0 peratus layak diberikan sijil berbanding 349,297 calon (93.5 peratus) pada tahun 2023, iaitu peningkatan sebanyak 6,636 calon (0.5 peratus).

Sementara itu, pencapaian calon yang memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran tahun lalu juga bertambah iaitu seramai 14,179 calon atau 3.7 peratus.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan menyifatkan pencapaian itu sangat membanggakan kerana ia merupakan yang terbaik sejak 2013 iaitu ketika syarat wajib bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah diperkenalkan untuk layak diberikan sijil.

Beliau berkata, ia berdasarkan indeks Gred Purata Kebangsaan (GPK) yang semakin mengecil berbanding tahun-tahun sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here