Gambar hiasan

KUALALUMPUR – Hanya syarikat yang berlesen dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dibenarkan mengeksport sarung tangan getah yang diperoleh daripada sumber kilang pembuatan tempatan sahaja.

Pelaksanaannya berkuat kuasa serta-merta.

Kementerian Perladangan dan Komoditi berkata, langkah ini diambil bagi menjamin kualiti produk dan kemampanan industri sarung tangan getah negara.

Selain itu, ia sebagai langkah pencegahan terhadap risiko Malaysia menjadi destinasi pengalihan perdagangan dari negara lain, susulan ketidaktentuan dalam landskap perdagangan antarabangsa, termasuk perubahan dasar-dasar pasaran utama dunia yang memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan dan pasaran eksport produk getah.

“Keadaan ini berpotensi menyebabkan peningkatan import sarung tangan getah yang boleh menjejaskan daya saing industri getah domestik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Di samping itu, LGM juga giat menjalankan Operasi Bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain bagi memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan dalam sektor sarung tangan getah demi menjaga imej dan daya saing industri getah negara.

Katanya, kementerian dan LGM akan terus memantau secara dekat perkembangan semasa perdagangan dunia dan sentiasa bersiap siaga untuk melaksanakan langkah-langkah proaktif dalam melindungi kepentingan keseluruhan industri getah negara, termasuk semua produk getah.

Dalam jangka masa terdekat, kementerian juga akan meneliti pendekatan jangka panjang yang bersesuaian dengan perubahan landskap geopolitik
dan ekonomi global, demi memastikan daya tahan dan kebolehpasaran industri getah Malaysia terus dipertahankan.

Malaysia merupakan antara pengeluar dan pengeksport utama getah dan produk berasaskan getah, dengan nilai eksport mencecah RM 33.7 billion pada tahun 2024.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM 15.41 bilion atau 45.8% disumbangkan oleh sektor sarung tangan getah sahaja.

Selaras dengan sumbangan signifikan sektor sarung tangan getah kepada ekonomi negara, LGM telah melaksanakan beberapa inisiatif strategik bagi memperkukuh kawal selia industri dalam menghadapi isu-isu dan cabaran semasa perdagangan global.

Antara inisiatif tersebut adalah dengan memperketatkan syarat pelesenan bagi aktiviti eksport sarung tangan getah melalui Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here