KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memanggil pempengaruh Aliff Ahmad untuk disiasat kerana beliau menawarkan perkhidmatan semakan latar belakang terhadap Nurul Izzah Anwar, anak Perdana Menteri, adalah keterlaluan dan dikhuatiri satu bentuk penyalahgunaan kuasa.
Exco Armada Bersatu, Na’im Brundage berkata, berdasarkan penilaian terhadap kandungan media sosial beliau mengenai perkara tersebut, Aliff tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.
Beliau tidak mengugut, tidak menghasut, tidak memfitnah, tidak mengancam, dan tidak menyebarkan kebencian terhadap mana-mana bangsa mahupun agama.
“Tawaran beliau untuk menyemak latar belakang anak Perdana Menteri juga tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang negara. Sebaliknya, tindakan ini sepatutnya dipuji sebagai usaha ke arah mewujudkan budaya politik yang lebih telus di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, sebelum ini Aliff Ahmad pernah melakukan semakan latar belakang terhadap beberapa pemimpin utama negara, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin,Tan Sri Abdul Hadi Awang, dan Lim Guan Eng tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa.
Maka, tindakan SKMM yang kini menyiasat beliau menimbulkan satu persoalan, mengapa semakan latar belakang terhadap seorang ahli politik tiba-tiba kini dianggap sebagai satu kesalahan?
Oleh itu, Armada Bersatu mendesak SKMM agar menghentikan serta-merta siasatan terhadap Aliff Ahmad berkenaan penawaran khidmat semakan latar belakang beliau terhadap Nurul Izzah.
“Pihak kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak berkuasa yang cuba menakut-nakutkan rakyat demi melindungi individu-individu berpengaruh tertentu,” ujarnya. – MalaysiaGazette