Ranhill SAJ Sdn Bhd akan mengambil tindakan proaktif menangani masalah tanah runtuh berhampiran tangki air Mutiara Rini 2, Iskandar Puteri.

ISKANDAR PUTERI – Syarikat pengendali air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd akan mengambil langkah sewajarnya dalam menangani masalah tanah runtuh di bukit yang menempatkan tangki air Mutiara Rini 2, di Taman Rini Homes 7, di sini.

Ketua Komunikasi Korporat Ranhill SAJ, Ahmad Asri Kalbi berkata, ini bagi memastikan keadaan tidak bertambah buruk.

“Kita akan melakukan tindakan yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Pihak Ranhill SAJ mengambil maklum aduan yang kami terima daripada persatuan penduduk di kawasan berkenaan.

“Langkah-langkah proaktif akan kami lakukan agar situasi tanah runtuh terbabit tidak memburuk,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Terdahulu, lebih 5,000 penduduk Taman Perumahan Taman Rini Homes 7, di sini, hari ini bimbang dengan kejadian tanah runtuh di kawasan tangki air yang hanya 50 meter dari perumahan penduduk.

Penduduk mendakwa terdapat pergerakan tanah atas bukit yang menempatkan tangki air Mutiara Rini 2, sudah mula dilihat sejak awal Mac lalu dan kejadian tanah runtuh berlaku pada 28 dan 30 April lalu.

Ahli Jawatankuasa Penduduk Rini Homes 7, G. Vethavalli, 41, dilaporkan berkata, runtuhan kedua lebih besar yang menyebabkan stuktur batuan cerun merekah dan menggelongsor jatuh, sehingga menyebabkan pagar, sistem pendawaian elektrik dan saluran paip ‘club house’ rosak.

“Malah dapat dilihat laluan pejalan kaki yang dahulunya rata kini tidak rata dan beralun akibat runtuhan tersebut,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast