Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.

KUALA LUMPUR – Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) tidak wajar dianggap sebagai usaha penggentrifikasian atau pembangunan kondominium mewah, sebaliknya ia adalah inisiatif untuk menyediakan perumahan selamat dan bermaruah kepada rakyat.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, akta itu menyediakan kerangka undang-undang yang telus dan menyeluruh bagi membolehkan kawasan perumahan bandar yang uzur dibaik pulih secara sistematik.

“Akta ini bukan tentang kondominium mewah atau penggentrifikasian. Ia tentang memastikan rakyat Malaysia biasa mendapat akses kepada perumahan yang selamat, bermaruah dan selesa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutn Syerleena, banyak kawasan di bandar terutama di Lembah Klang dan Pulau Pinang sedang berdepan kerosakan infrastruktur, sistem pendawaian usang, lif rosak serta keadaan persekitaran yang tidak sihat.

“Rifle Range di Pulau Pinang sebagai contoh, suatu ketika dahulu model perumahan awam progresif, kini menghadapi pelbagai masalah fizikal dan keselamatan.

“Permohonan bantuan berlarutan bertahun-tahun tanpa penyelesaian kerana tiada mekanisme undang-undang nasional yang kukuh,” ujarnya.

Syerleena menempelak tindakan pembangkang yang didakwa cuba membangkitkan isu kaum bagi menolak URA, walaupun hak-hak orang Melayu telah dijamin sepenuhnya dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming telah menjemput wakil rakyat pembangkang untuk turun padang meninjau keadaan flat-flat usang, namun tiada seorang pun hadir. Mereka lebih selesa mengkritik dari jauh,” tambahnya.

Katanya lagi, URA memberi peluang kepada kerajaan negeri bertindak dengan lebih efektif, selari dengan matlamat meningkatkan kualiti hidup rakyat tanpa meninggalkan mana-mana komuniti.

“Kita perlu bersuara apabila dakwaan tidak berasas dibuat. URA ialah satu alat untuk kemajuan yang adil dan berprinsip.

“Ia adalah peluang untuk memperbaiki kehidupan rakyat di kawasan bandar yang semakin terpinggir,” jelasnya.

URA ialah satu rang undang-undang (RUU) baru yang masih dalam peringkat perancangan. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyediakan draf RUU berkenaan dan kini sedang mengumpul maklum balas daripada pihak berkepentingan.

RUU berkenaan bertujuan memberi kuasa kepada jawatankuasa eksekutif persekutuan dan negeri bagi membangunkan semula serta memperbaharui bangunan atau tanah yang terbengkalai tanpa memerlukan persetujuan 100 peratus daripada pemiliknya.

Pada masa ini, Seksyen 57 Akta Hakmilik Strata 1985 mensyaratkan “resolusi sebulat suara” daripada pemilik sebelum badan pengurusan boleh mengambil alih sebagai pemegang amanah untuk melaksanakan kerja-kerja pembaharuan semula bandar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast