Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Naquib Hamdan, serta Timbalan Pengarah Kanan, Izwan Razif Salehaped bergambar dengan spesis patin seberat 15.815 kilogram.

KUALA LUMPUR – Ahmad Shuffin Roissuddin dari Kajang dinobatkan sebagai juara Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 selepas berjaya menaikkan seekor ikan patin seberat 15.815 kilogram di Tasik Permaisuri pada Ahad lalu.

Kemenangan tersebut melayakkan beliau membawa pulang wang tunai RM5,000 mengatasi hampir 600 peserta dalam pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu.

Ahmad Shuffin, seorang penghantar makanan menggunakan umpan roti berperisa pandan dan hanya mengambil masa lapan minit untuk mendaratkan ikan tersebut.

“Sudah lebih 20 tahun saya menyertai pertandingan memancing. Alhamdulillah, kali ini tuah menyebelahi saya. Wang kemenangan ini saya akan kongsikan bersama rakan-rakan yang sentiasa memberi semangat selama ini.

“Saya sertai pertandingan ini sekadar suka-suka, tak sangka pula rezeki jadi juara,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Naquib Hamdan, serta Timbalan Pengarah Kanan, Izwan Razif Salehaped.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Naquib Hamdan serta Timbalan Pengarah Kanan DBKL, Izwan Razif Salehaped.

Tempat kedua dimenangi Mahammad Shahzarul Aqil Mohd dari Seremban, Negeri Sembilan dengan tangkapan seberat 14.360 kilogram membawa pulang RM2,000 manakala tempat ketiga menjadi milik Mohd Faizlan Zallani yang menaikkan ikan seberat 13.840 kilogram, juga dari spesies patin dan menerima RM1,000.

Pertandingan itu merupakan siri kedua Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 yang dianjurkan bersempena sambutan Hari Pekerja.

Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk menggalakkan gaya hidup sihat serta menghargai sumbangan para pekerja, termasuk komuniti kaki pancing.

Ini juga adalah selari dengan hasrat Datuk Bandar Kuala Lumpur yang menggalakkan penglibatan kerjasama sektor awam, swasta, rakyat dan rakan strategik.

Penyertaan pemancing dari pelbagai negeri termasuk Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Selangor turut memeriahkan suasana. Acara ini bukan sekadar pertandingan memancing, malah menjadi platform perpaduan komuniti bandar melalui gaya hidup sihat.

Siri ketiga Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 dijadual berlangsung di Tasik Metropolitan Kepong sempena sambutan Hari Kebangsaan akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here