Lebih 200 doktor dan pekerja kesihatan berkumpul bagi membantah pelaksanana peraturan mewajibkan klinik swasta serta farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan dan meyerahkan memorandum kepada wakil Pejabat Perdana Menteri (PMO) ketika di Laman Perdana, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 MEI 2025.

KUALA UMPUR – Pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) berkaitan penandaan harga ubat bukan bertujuan menekan atau menjejaskan operasi pengamal perubatan swasta.

Sebaliknya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, ia merupakan langkah ke arah mewujudkan sistem kesihatan yang lebih telus, adil dan mampan selaras aspirasi kerajaan.

“KKM sentiasa mengamalkan pendekatan terbuka dan inklusif. Sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan telah dan akan terus diadakan, bagi memastikan pelaksanaan yang seimbang dan tidak membebankan mana-mana pihak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

KKM berkata demikian susulan perhimpunan aman kumpulan pengamal perubatan swasta pagi tadi di Laman Perdana, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Kumpulan yang dihadiri 200 doktor dan pengamal perubatan itu turut menyerahkan memorandum membantah pelaksanaan Akta 723.

Mengulas lanjut kata KKM, kementerian itu bersedia meneliti kandungan memorandum yang dikemukakan dan mempertimbangkan sebarang penambahbaikan dasar berdasarkan bukti dan data semasa.

“Keutamaan KKM adalah untuk memastikan akses kepada ubat-ubatan yang munasabah dan mampu milik, serta memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap sistem kesihatan negara,” tambahnya.

Bermula 1 Mei lalu, semua klinik dan farmasi swasta memaparkan harga ubat-ubatan dengan tujuan meningkatkan ketelusan dan membantu pengguna membuat pilihan berdasarkan harga.

Langkah itu dilaksanakan berdasarkan Akta 723 untuk meningkatkan ketelusan dalam urus niaga dan membolehkan pengguna membuat perbandingan harga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here