Lagu Lebih Indah Berpisah adalah karya yang sangat istimewa buat Bella.

KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan single terdahulu, Bella Astillah kini kembali dengan lagu terbaru bertajuk Lebih Indah Berpisah iaitu kolaborasi istimewa bersama komposer dan pemuzik terkenal Indonesia, Ade Govinda selaku pencipta lagu dan juga penerbit muzik.

Lagu itu hadir dengan penuh makna, membawa kisah tentang kekuatan hati untuk melepaskan cinta yang tidak lagi menghargai demi membuka lembaran hidup yang lebih indah.

Bella Astillah berkata, Lebih Indah Berpisah adalah karya yang sangat istimewa buat dirinya.

“Bermula daripada cadangan tajuk yang asalnya sedikit berbeza, akhirnya saya dan Ade Govinda sepakat untuk memilih perkataan indah sebagai teras utama judul ini mencerminkan sisi positif daripada sebuah perpisahan.

“Lagu ini ditulis dengan penuh jiwa dan semangat oleh Ade menggambarkan keberanian untuk berpisah dengan penuh keikhlasan,” kata ibu tunggal dua anak itu.

Bella Astilah memilih berkolaborasi dengan komposer dan pemuzik terkenal Indonesia, Ade Govinda.

Menurut Bella, bekerjasama dengan Ade dan pasukannya sebagai satu kenangan yang sangat berharga dan tidak dapat dilupakan.

“Mereka sangat menghormati masa, bakat, dan orang lain tanpa memandang siapa kita. Mereka layan semua orang dengan penuh hormat dan profesionalisme.

“Sewaktu proses rakaman, suasana di studio sangat positif dan penuh sokongan. Ini menjadikan pengalaman rakaman bebas tekanan. Malah, dengan semangat dan sokongan mereka, saya rasa lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik,” katanya.

Bella turut berharap lagu ini mampu memberikan kekuatan kepada mereka yang sedang berhadapan dengan kesedihan dalam kehidupan percintaan mereka.

“Saya mahu lagu ini diterima dengan baik, dan menjadi teman kepada sesiapa yang sedang melalui fasa sukar dalam hidup mereka. Saya juga berharap lagu ini bukan sahaja diterima baik di Malaysia, malah juga di Indonesia.

“Namun, yang paling utama juga adalah agar lagu ini dekat di hati pendengar. Projek ini juga menjadi platform untuk saya mencabar diri sendiri, memperbaiki mutu nyanyiannya dan berkembang sebagai seorang artis.

“Saya buat lagu ini bukan untuk bersaing dengan sesiapa, tetapi untuk diri saya sendiri dan untuk menjadi lebih baik,” jelas Bella.

Sementara itu, Ade berkata, Lebih Indah Berpisah bukan sekadar sebuah melodi, tetapi luahan jiwa tentang keberanian melepaskan dan memilih jalan baharu demi kebahagiaan diri.

“Lagu ini mengisahkan tentang seseorang yang berani mengambil keputusan untuk berpisah apabila cintanya tidak lagi dihargai. Lagu ini membawa mesej bahawa berpisah bukanlah sebuah kegagalan, tetapi satu langkah berani menuju kehidupan yang lebih indah, berbanding terus berjuang seorang diri dalam hubungan yang tidak seimbang.

Menurut Bella, bekerjasama dengan Ade dan pasukannya sebagai satu kenangan yang sangat berharga dan tidak dapat dilupakan.

“Jika cinta anda tidak dihargai, semoga lagu ini memberi keberanian untuk mengambil keputusan yang tepat. Kehidupan selepas berpisah boleh menjadi jauh lebih indah daripada apa yang kita bayangkan.

“Bella memperlihatkan kesabaran, keikhlasan, dan ketulusan yang luar biasa, namun setiap orang pasti ada batasnya. Lagu ini adalah penghormatan kepada kekuatan hati itu,” katanya.

Berkongsi tentang kerjasama bersama Bella, Ade meluahkan rasa kagum terhadap tahap profesionalisme artis muda ini.

“Bella sangat profesional, bukan sahaja dalam nyanyian malah dalam lakonan video muzik juga menunjukkan kesungguhan luar biasa. Tidak banyak wanita yang mampu menunjukkan ketabahan dan komitmen sepertinya. Bella memang hebat,” ujar Ade.

Sementara itu, Lebih Indah Berpisah kini boleh didengarkan di semua platform digital dan video muzik rasmi turut dilancarkan di YouTube. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here